Diberkati Untuk Menjadi Kaya? Sebuah Teologi Alkitabiah Tentang Berkat (Bahagian 2)
Dalam hantaran sebelum ini, kita mula menerokai teologi kemakmuran—idea di mana orang Kristian harus mengharapkan berkat material yang sama seperti yang dinikmati oleh umat Tuhan dalam era Perjanjian Lama. Kita telah melihat beberapa respons berbeza yang dibuat terhadap gerakan kemakmuran dan menyimpulkan bahawa adanya keperluan untuk menggunakan pendekatan teologi alkitabiah. Minggu ini kita akan menyoroti beberapa perkara penting yang harus diperhatikan melalui pendekatan ini, bermula dengan Perjanjian Lama.
Kejadian 1
Tema berkat bermula di Kejadian 1. Pada hari ke-5, Tuhan memberkati makhluk di laut dan burung-burung (Kejadian 1:22). Pada hari ke-6 Dia memberkati umat manusia: “Beranakcuculah dan bertambah banyak…taklukkanlah…” (Kejadian 1:28 TB). Berkat di sini menandakan bahawa makhluk ciptaan menikmati perkenanan atau berada dalam hubungan dengan Tuhan. Ini termasuklah anugerah kesuburan dan keupayaan untuk menundukkan dan memerintah dunia.
Berkat sering menandakan bahawa Tuhan melindungi dan menyediakan. Kita melihat hal ini dalam berkat ke atas Nuh (Kej. 6:22; 8:20; 8:21-9:17); dalam berkat ke atas Boas (Rut 2:4, 12); dan terutamanya dalam berkat Harun dalam Bilangan 6:24-26. Seperti yang ditulis oleh James McKeown: “Tuhan memberikan berkat kepada mereka yang seharmoni dengan-Nya.”[1] “Kepentingan tema berkat terletak pada maknanya sebagai penanda bagi hubungan seseorang dengan Tuhan.”[2]
Kejatuhan
Kesan dosa dan penyebarannya membawa sesuatu yang bertentangan dengan berkat; iaitu kutuk. Dalam Kejadian 3-11 si ular telah dikutuk (3:14); tanah dikutuk (3:17); dan, Kain telah mendapat kutuk dan terusir dari tanah (4:11). Nuh akan membawa kelegaan kerana bumi telah dikutuk (5:29); dan Kanaan juga telah dikutuk (9:25).
Janji-janji kepada Abraham
Setelah memaparkan segala kutukan tersebut, berkat ialah tema utama dalam janji-janji kepada Abraham. Janji-janji kepada Abraham diberikan untuk menterbalikkan kesan Kejatuhan dan memulihkan penciptaan kepada berkat yang dilihat dalam Kejadian 1.
- Pertama, Abraham akan mempunyai keturunan. Ini adalah sebahagian daripada janji dalam 12:2 bahawa Abraham akan menjadi bangsa yang mahsyur dan kemudiannya dihuraikan dengan merujuk kepada debu tanah (13:16), bintang di langit (15:5; 22:17) dan pasir di pantai (22:17). Jelaslah bahawa janji ini berkait dengan berkat penciptaan asal iaitu kesuburan. Keturunan Abraham akan menjadi sangat subur.
- Kedua, Abraham dijanjikan sebuah negeri sebagai miliknya dan keturunannya. Seperti janji keturunan, janji untuk memiliki sebuah negeri ini dinyatakan dengan jelas kemudian, iaitu di dalam 12:7. Tuhan menjanjikan keturunan Abraham negeri tempat dia berdiri ketika itu.
- Ketiga, dan ini merupakan tunjang bagi tujuh klausa dalam Kejadian 12:2-3, Abraham sendiri akan menjadi berkat. Lohr berhujah bahawa perkara utama dalam Kejadian 12:2-3 adalah Abraham akan diberkati dengan berlimpah.[3]
- Keempat, berkat itu tidak hanya tertumpu kepada Abraham. Sebaliknya, dia akan menjadi saluran berkat kepada orang lain. Bangsa-bangsa lain akan diberkati melalui Abraham. Terdapat perkembangan dalam janji-janji kepada Abraham: (i) Abraham akan diberkati, (ii) dia akan menjadi berkat, dan (iii) semua bangsa akan menerima berkat.
Membahagikan janji-janji tersebut ke dalam tajuk-tajuk seperti di atas adalah berguna, tetapi janji-janji ini juga tergolong bersama. Secara keseluruhan, janji-janij yang diberikan kepada Abraham adalah rancangan Allah bagi melaksanakan tujuan-tujuan-Nya dan ianya juga—menurut naratif Kitab Suci—adalah untuk memulihkan seluruh dunia. Jadi, tema berkat mesti difahami dalam konteks ini—terutamanya mengenai tujuan Tuhan untuk memberkati bangsa-bangsa lain.[5]
Pada masa yang sama kita harus ingat bahawa berkat pada dasarnya adalah satu tanda hubungan dengan Tuhan. Diberkati bermaksud menikmati perkenanan Tuhan—dan banyak rujukan-rujukan tentang berkat tercatat pada titik-titik peralihan tertentu di dalam Alkitab untuk menekankan hal ini. Tuhan menjanjikan berkat ketika memanggil Abraham; perkahwinan Ishak; kepergian Yakub ke Haran; dan melalui berkat yang diucapkan Yakub kepada anak-anaknya sewaktu di ambang kematian.
Ulangan 28
Berkat dalam Ulangan 28:1-14 berasal daripada janji-janji kepada Abraham. Hukum-hukum Sinai menambahkan perincian baru dan menjelaskan bahawa janji-janji itu akan direalisasikan melalui ketaatan Israel kepada tuntutan hukum tersebut.
Ayat-ayat ini jelas sekali berbicara tentang kemakmuran dan kesuburan jasmani (dan bukan hanya rohani). Kita membaca, sebagai contoh, bahawa “TUHAN akan membuat kamu berkelimpahan…” (28:11 AVB). Tetapi ianya juga bertujuan untuk memenuhi matlamat Tuhan untuk membawa berkat kepada semua bangsa. Seperti yang dinyatakan dalam ayat 10: “Segala bangsa di bumi akan melihat bahawa nama TUHAN disebut olehmu, dan mereka akan takut kepadamu.”
Berkat-berkat ini juga menyebut tentang perkenanan dan keadaan harmoni yang datang dari hubungan perjanjian dengan Tuhan. Seperti yang dinyatakan oleh Mary J. Evans, “Berkat ini bukan digambarkan sebagai ganjaran kerana mematuhi hukum; ia berlandaskan janji Tuhan dan merupakan akibat semulajadi daripada berada dalam hubungan dengan-Nya.”[6]
Adalah penting untuk diingati bahawa berkat-berkat ini adalah diamaksudkan untuk umat Tuhan secara keseluruhan. Ianya diberikan kepada umat Tuhan yang taat. Jika Israel taat, berkat-berkat ini tidak menjanjikan kemakmuran bagi setiap individu, tetapi bagi bangsa Israel secara keseluruhan. Sebagai contohnya, hukum-hukum mengenai pembatalan hutang, yang ditemukan dalam Ulangan 15:1-11, membawa berkat apabila ianya dipatuhi: “…tidak akan ada fakir miskin dalam kalangan engkau kerana TUHAN pasti memberkati engkau di negeri yang dikurniakan TUHAN…” (Ulg. 15:4 AVB). Penerimaan berkat tidak mengetepikan keperluan untuk menunjukkan kemurahan hati secara radikal.
Kita harus mengambil perhatian bahawa corak hubungan antara ketaatan-kemakmuran yang jelas kelihatan dalam Ulangan 28 tidak selalu berlaku—terutamanya pada peringkat individu—dalam Perjanjian Lama. Kitab Ayub mengubah corak ini. Amsal 30:8 memberi amaran tentang kekayaan, demikian juga hukum tentang raja dalam Ulangan 17:14-20. Pelayanan Elia dan Yeremia menunjukkan contoh orang Israel yang taat namun menderita kemiskinan walaupun mereka setia. Dan yang terakhir, hukum-hukum yang diberikan melalui Musa menyekat pengumpulan harta dan para nabi sering mencela penyalahgunaannya.
Secara keseluruhannya, Perjanjian Lama membentangkan corak umum yang mengaitkan berkat material dengan perkenanan Tuhan, walaupun terdapat beberapa pengecualian yang penting. Bagaimanakah kita dapat menerapkan perkara-perkara ini pada diri kita pada hari ini? Kita akan merenungkan persoalan ini dalam hantaran yang akan datang.
Rujukan:
[1] James McKeown, “Blessings and Curses”, Dictionary of Old Testament Pentateuch (disunting oleh T. D. Alexander, D W Baker; Downers Grove: IVP, 2003) 84.
[2] James McKeown, Genesis (Tw0 Horizons; Grand Rapids: Eerdmans, 2008), 220. Demikian juga Peter C. Craigie, The Book of Deuteronomy (NICOT; Grand Rapids: Eerdmans, 1976), 180, ‘umat Tuhan hanya akan menikmati berkat Tuhan apabila hubungan perjanjian… dikekalkan.’
[3] Joel N. Lohr, Chosen and Unchosen: Conceptions of Election in the Pentateuch and Jewish-Christian Interpretation (Siphrut: Literature and Theology of the Hebrew Scriptures 2; Winona Lake: Eisenbrauns, 2009), 179-180.
[4] Walton, 403.
[5] Blomberg, 36-37, 241.
[6] Mary J. Evans, “Blessing, Curse” dalam New Dictionary of Biblical Theology (disunting oleh T D Alexander, BS Rosner; Downers Grove/Leicester: IVP, 2000), 398. Demikian juga McKeown, DOTP, 84; Kent H. Richards, “bless/blessing”, Anchor Bible Dictionary (D. N. Freedman (penyunting); New York: Doubleday, 1992) vol 1:754
This article was originally published by The Gospel Coalition Australia and has been translated and republished with permission of the author.
Get articles delivered straight to your inbox. Sign up for our mailing list here.
Follow us on:
Paul Barker is an Assistant Bishop in the Anglican Diocese of Melbourne. Until 2016 he was Regional Coordinator for Asia for Langham Preaching, a Visiting Lecturer at Myanmar Evangelical Graduate School of Theology and taught in a variety of other Asian seminaries. He is the author of The Triumph of Grace in Deuteronomy, a book of expositions on Amos and other articles and short books. Formerly he was Senior Minister of Holy Trinity Anglican Church Doncaster, Melbourne.
Related Articles
Berkat Pada Hari Ini: Sebuah Teologi Alkitabiah tentang Berkat (Bahagian 4)
Dalam hantaran yang lalu mengenai teologi kemakmuran, kita telah melihat kepentingan berkat dalam Perjanjian Lama dan memperhatikan bagaimana ia digenapi dan diperluaskan dengan kedatangan Kristus. Yesus bukan sahaja menjadikan janji Tuhan tentang berkat dalam Perjanjian Lama sebuah kenyataan, tetapi Dia juga memperluaskan rangkumannya: ke seluruh dunia; hingga ke syurga; dan sampai masa hadapan...
Berkat dalam Perjanjian Baru: Gagasan Berkat dalam Teologi Alkitabiah (Bahagian 3)
Kita telah melihat dalam hantaran yang lalu bahawa umat Tuhan dalam Perjanjian Lama boleh berharap untuk menerima berkat-berkat di dunia ini. Tuhan telah mengurniai mereka kesuburan, wilayah negeri dan kemakmuran sebagai tanda-tanda perkenanan-Nya, dan berkat-berkat itu juga merupakan sebahagian daripada rencana Tuhan untuk memberkati seluruh dunia. Namun demikian, apakah yang berlaku kepada berkat-berkat...
Diberkati Untuk Menjadi Kaya? Sebuah Teologi Alkitabiah Tentang Berkat (Bahagian 1)
Secara ringkasnya, teologi kemakmuran mengatakan bahawa Tuhan ingin umat-Nya menjadi kaya. James Tinney menyimpulkannya sebagai: “Allah memilikinya, saya dapat memilikinya, dan dengan iman saya akan mendapatkannya.” Oral Roberts, salah seorang pengasas gerakan itu, mengambil petunjuk dari 3 Yohanes 2: “Aku berdoa semoga kamu berada dalam keadaan sejahtera serta sihat jasmanimu sebagaimana rohanimu berbahagia...