October 23, 2023

Diberkati Untuk Menjadi Kaya? Sebuah Teologi Alkitabiah Tentang Berkat (Bahagian 1)

Diberkati Untuk Menjadi Kaya? Sebuah Teologi Alkitabiah Tentang Berkat (Bahagian 1)

Paul Barker

6 Minute Read

Ajaran yang dipanggil sebagai “injil kemakmuran” adalah sangat berleluasa. Para pelajar dan pastor dari Nigeria hingga ke Myanmar sering bertanya kepada saya tentang teologi kemakmuran dan pengaruhnya. Dalam artikel bersiri ini, saya ingin menggariskan respons terhadap ajaran ini.

Pengenalan kepada Teologi Kemakmuran

Secara ringkasnya, teologi kemakmuran mengatakan bahawa Tuhan ingin umat-Nya menjadi kaya. James Tinney menyimpulkannya sebagai: “Allah memilikinya, saya dapat memilikinya, dan dengan iman saya akan mendapatkannya.”[1] Oral Roberts, salah seorang pengasas gerakan itu, mengambil petunjuk dari 3 Yohanes 2: “Aku berdoa semoga kamu berada dalam keadaan sejahtera serta sihat jasmanimu sebagaimana rohanimu berbahagia.”[2]

Bagi Roberts dan mereka yang mengikuti jejaknya, kehendak Tuhan adalah supaya orang Kristian diberkati dari segi kewangan dan menjadi makmur. Kadangkala kekayaan kewangan menjadi pengukur kepada iman—maksudnya, kemiskinan adalah petanda bagi kurangnya iman dan ketaatan. Pat Robertson mengatakan bahawa kemiskinan “adalah kutuk yang menimpa mereka yang sama ada tidak melayani Tuhan dengan betul, atau tidak mengikuti hukum Tuhan yang tertentu, atau sedang dalam persinggahan yang sementara ke salah satu destinasi Tuhan.”[3]

Kadangkala doktrin kemakmuran dikaitkan dengan panggilan untuk mendukung pelayanan Kristian. Oral Roberts menjanjikan ‘Pakatan Berkat’ di mana setiap orang yang memberikan $100 kepada pelayanannya akan menerima bayaran balik jika mereka tidak menerima sekurang-kurangnya berkat yang setimpal dalam tempoh setahun daripada sumber yang tidak dijangka. Seorang penulis, sekurang-kurangnya, menyamakan pakatakan tersebut dengan penjualan indulgensi pra-Reformasi.[4]

Platform Teologi Injil Kemakmuran

Teologi kemakmuran sangat bergantung pada visi kehidupan dalam Perjanjian Lama. Ia menekankan berkat-berkat fizikal yang diberikan kepada Adam dan Hawa dan janji-janji kemakmuran yang diberikan kepada Abraham. Ia beralasan bahawa, memandangkan kemakmuran telah lenyap akibat dosa, maka ia harus dipulihkan melalui penghapusan dosa oleh Yesus. Menurut gagasan ini, Yesus menjadikan berkat kekayaan itu tersedia bagi mereka yang menuntutnya melalui iman.

Janji-janji yang diberikan kepada Abraham adalah penting di sini. Tidak dinafikan, janji-janji dalam Kejadian 12:2-3 membayangkan kemakmuran dan kekayaan, walaupun ianya tidak dinyatakan secara jelas mahupun terutama (keunggulan Abraham sebagai berkat kepada bangsa-bangsa adalah yang terutama). Tambahan pula, apabila naratif Perjanjian Lama terungkap, kemakmuran menjadi semakin jelas. Abraham sendiri adalah kaya (Kejadian 13:2). Mereka yang mematuhi taurat Musa juga dijanjikan dengan kemakmuran (lihat Ulangan 28:1-14).

Teologi kemakmuran menegaskan bahawa janji-janji ini masih berlaku bagi orang Kristian. Seperti yang diperhatikan oleh James Smith, Pentakostalisme berpegang kepada visi penciptaan yang menyeluruh yang enggan merohanikan janji-janji Injil.[5]

Respons-Respons terhadap Teologi Kemakmuran

Walau bagaimanapun, terdapat pelbagai kritikan yang telah dibuat terhadap injil kemakmuran. Sebagai contoh, sebuah kajian sosiologi yang akan diterbitkan tidak lama lagi tentang gereja-gereja mega di Singapura menunjukkan bahawa mereka yang tertarik dengan gereja-gereja sedemikian adalah cenderung kepada satu jenis golongan sosial: mereka yang mendaki tangga sosial—selalunya yang datang dari latar belakang yang miskin, tetapi sekarang sudah berpendidikan tinggi dan menjadi sebahagian daripada kelas pertengahan yang baru.[6]

Kritikan lain yang telah dibuat adalah ahli-ahli teologi kemakmuran menawarkan jawapan-jawapan segera bagi kerumitan hidup dan “menjadikan kehidupan Kristian hanya sebagai perihal mengetahui teknik atau formula yang betul, atau mengikuti langkah-langkah yang ditetapkan untuk mencapai kemakmuran.”[7]

Beberapa penulis lain telah menguji penafsiran teologi kemakmuran:

  • John Kim berhujah bahawa amalan pemberian persepuluhan dengan harapan untuk mendapatkan ganjaran adalah didasarkan pada bacaan Maleakhi 3:10 yang salah.[8]
  • Gordon Fee juga mencabar tafsiran Oral Robert mengenai 3 Yohanes 2 – menegaskan bahawa ayat itu tiada kaitan dengan kemakmuran kewangan.[9]
  • Bruce Barron memperhatikan tafsiran yang mendakwa bahawa Markus 10:29-30 berkait dengan kemakmuran (di mana Yesus berbicara tentang pulangan seratus kali ganda bagi mereka yang meninggalkan segalanya dan mengikuti-Nya) gagal untuk menerapkan kata-kata itu kepada hal lain selain daripada wang dan biasanya tidak mengendahkan komen tentang “meninggalkan segala-galanya.”[10]

Satu lagi respons lazim terhadap teologi kemakmuran adalah dengan meninjau apa yang diperkatakan oleh Perjanjian Baru tentang kekayaan:

  • Fee menunjukkan bahawa pandangan Perjanjian Baru terhadap kemiskinan dan penderitaan adalah sesuai dalam kerangka eskatologi yang sudah bermula tetapi belum disempurnakan.[11]
  • Blomberg menawarkan tinjauan mengenai keseluruhan ajaran Alkitab tentang harta dan wang.[12]

Perlunya Satu Pendekatan Teologi Alkitabiah

Respons-respons ini mempunyai sesuatu yang benar untuk dikatakan. Tetapi apa yang diperlukan sebenarnya ialah pendekatan *teologi alkitabiah. Seperti yang diperhatikan oleh Fee, kelemahan teologi kemakmuran bukan sekadar kerana ia memetik dan menyalahtafsirkan teks-teks penting, tetapi ia juga menunjukkan suatu “kegagalan untuk membentuk pandangan alkitabiah yang menyeluruh, terutamanya kegagalan untuk memahami kerangka teologi yang penting bagi penulis-penulis Perjanjian Baru.”[13]

Walau bagaimanapun, bagi Fee, kerangka teologi alkitabiah itu ialah **eskatologi: “Pada masa kedatangan Yesus, harapan orang Yahudi untuk keselamatan telah menjadi sepenuhnya eskatologikal. Zaman sekarang dilihat sebagai di bawah kekuasaan Syaitan, dan dengan itu sama sekali jahat… Oleh itu orang Yahudi telah berputus asa untuk melihat keselamatan terjadi di dalam sejarah.”[14]

Walaupun Fee adalah betul dalam analisanya tentang kerangka eskatologi Yesus dan mesej injil, kerangka kerjanya gagal untuk berlaku adil terhadap Perjanjian Lama.

Kritikan John Kim juga lemah. Dia berhujah bahawa kesemua berkat yang berkaitan dengan perjanjian dengan Abraham telah digenapi di dalam Yesus dan tidak lagi terpakai bagi orang Kristian sekarang. Walaupun dia mengaitkan tema berkat dengan tema umat Tuhan yang selari dengannya, dengan mengambil kira perubahan keanggotaan umat Tuhan daripada satu bangsa kepada gereja (yang terdiri daripada pelbagai bangsa), ulasannya tentang isu ini adalah sangat singkat. Berkat sebenar, bagi Kim, adalah hadirat Tuhan.[15] Benar, tapi tidak memadai.

Akar masalahnya di sini ialah pendekatan dalam membaca Alkitab yang terpotong-potong: Satu ayat untuk sehari, atau melalui Facebook; buku-buku renungan yang berfokus pada satu ayat pada satu masa; atau khutbah tekstual. Semua ini menyukarkan kita semua—para pendukung kemakmuran mahupun para pengkritik mereka—untuk membaca Alkitab dalam konteksnya.

Jika kita benar-benar ingin memahami apa yang Alkitab katakan tentang kemakmuran, kita perlu melangkaui pendekatan ayat demi ayat. Sebaliknya, kita perlu mengkaji aliran dan perkembangan idea tersebut di dalam Alkitab.

Dalam hantaran kita yang akan datang dalam siri ini, kita akan cuba untuk melakukannya, bermula dengan kitab Kejadian.

Rujukan:
[1] Art Lindsey, “Settling for Mud Pies” dalam The Agony of Deceit (ed. Michael Horton; Chicago: Moody, 1990), 50.

[2] Bruce Barron, The Health and Wealth Gospel (Downers Grove, IVP, 1987), 62.

[3] Michael Horton, “The TV Gospel” dalam The Agony of Deceit (ed. Michael Horton; Chicago: Moody, 1990), 126.

[4] Joel Nederhood, “Send No Money to Martin Luther” dalam The Agony of Deceit (ed. Michael Horton; Chicago: Moody, 1990), 233-240. Lihat juga Horton 128.

[5] James K A Smith, Thinking in Tongues: Pentecostal Contributions to Christian Philosophy (Eerdmans, 2010), 43.

[6] Lihat Different Under God: A Survey of Churchgoing Protestants in Singapore oleh Terence Ching dan Hui Yew-Foong, belum diterbitkan. Laporan oleh Terence Ching di http://newasiarepublic.com/?p=39521, diakses pada 5 Ogos 2012.

[7] Lindsey, 57.

[8] John E. Kim, The Biblical Concept of Blessing and Prosperity (Bangalore: Centre for Contemporary Christianity, 2007), 1-6. Ayat ini sering kali digunakan untuk mendukung ajaran bahawa berkat adalah ganjaran kepada pemberian persepuluhan.

[9] Gordon D. Fee, The Disease of Health and Wealth Gospel (Vancouver: Regent College Publishing, 2006), 10-11. Barron, 91-93, dan Kim, 10-12, juga berbicara tentang teks ini.

[10] Barron, 89-90.

[11] Fee, 31-35.

[12] Craig L. Blomberg, Give Me Neither Riches nor Wealth: A Biblical Theology of Possessions (NSBT; IVP, 2000).

[13] Fee, 21, 30.

[14] Fee, 30.

[15] Kim, 23-25.

Penerangan konsep:
*Teologi alkitabiah:
Satu pendekatan pembacaan Alkitab yang menyeluruh dengan mengambil kira bagaimana konsep, tema dan idea di dalam Perjanjian Lama digenapi di dalam Perjanjian Baru. Pendekatan ini mengandaikan bahawa Perjanjian Baru adalah kesinambungan dan penggenapan kepada Perjanjian Lama.

**Eskatologi:
Berkenaan dengan akhir zaman.

This article was originally published by The Gospel Coalition Australia and has been republished and translated with permission of the author.

Get articles delivered straight to your inbox. Sign up for our mailing list here.

Follow us on:

Paul Barker is an Assistant Bishop in the Anglican Diocese of Melbourne. Until 2016 he was Regional Coordinator for Asia for Langham Preaching, a Visiting Lecturer at Myanmar Evangelical Graduate School of Theology and taught in a variety of other Asian seminaries. He is the author of The Triumph of Grace in Deuteronomy, a book of expositions on Amos and other articles and short books. Formerly he was Senior Minister of Holy Trinity Anglican Church Doncaster, Melbourne.

Related Articles

Berkat Pada Hari Ini: Sebuah Teologi Alkitabiah tentang Berkat (Bahagian 4)
Diberkati Untuk Menjadi Kaya? Sebuah Teologi Alkitabiah Tentang Berkat (Bahagian 1)

Dalam hantaran yang lalu mengenai teologi kemakmuran, kita telah melihat kepentingan berkat dalam Perjanjian Lama dan memperhatikan bagaimana ia digenapi dan diperluaskan dengan kedatangan Kristus. Yesus bukan sahaja menjadikan janji Tuhan tentang berkat dalam Perjanjian Lama sebuah kenyataan, tetapi Dia juga memperluaskan rangkumannya: ke seluruh dunia; hingga ke syurga; dan sampai masa hadapan...

Paul Barker
Berkat dalam Perjanjian Baru: Gagasan Berkat dalam Teologi Alkitabiah (Bahagian 3)
Diberkati Untuk Menjadi Kaya? Sebuah Teologi Alkitabiah Tentang Berkat (Bahagian 1)

Kita telah melihat dalam hantaran yang lalu bahawa umat Tuhan dalam Perjanjian Lama boleh berharap untuk menerima berkat-berkat di dunia ini. Tuhan telah mengurniai mereka kesuburan, wilayah negeri dan kemakmuran sebagai tanda-tanda perkenanan-Nya, dan berkat-berkat itu juga merupakan sebahagian daripada rencana Tuhan untuk memberkati seluruh dunia. Namun demikian, apakah yang berlaku kepada berkat-berkat...

Paul Barker
Diberkati Untuk Menjadi Kaya? Sebuah Teologi Alkitabiah Tentang Berkat (Bahagian 2)
Diberkati Untuk Menjadi Kaya? Sebuah Teologi Alkitabiah Tentang Berkat (Bahagian 1)

Dalam hantaran sebelum ini, kita mula menerokai teologi kemakmuran—idea di mana orang Kristian harus mengharapkan berkat material yang sama seperti yang dinikmati oleh umat Tuhan dalam era Perjanjian Lama. Kita telah melihat beberapa respons berbeza yang dibuat terhadap gerakan kemakmuran dan menyimpulkan bahawa adanya keperluan untuk menggunakan pendekatan teologi alkitabiah...

Paul Barker