February 16, 2021

Siapakah Yesus?

6 Minute Read

1. Pengenalan

Ramai muda-mudi orang Kristian dan orang-orang Kristian yang baru keliru mengenai siapa Yesus sebenarnya. Ada yang tertanya-tanya, sekiranya Yesus itu adalah Tuhan, kenapa Dia boleh mati; kenapa Dia banyak mempunyai ciri-ciri manusia seperti memerlukan rehat, memerlukan makanan dan sebagainya? Semasa Dia disalib Dia memanggil Tuhan Bapa, “Tuhan-Ku, Tuhan-Ku, mengapa Engkau meninggalkan Aku?” (Matius 27:46). Dengan kata-kata sebegini, Yesus seolah-olah menyangkal Dia adalah Tuhan. Lagi pun, dengan kata-kata ini, Yesus seolah-olah mengatakan bahawa Tuhan (Dia sendiri) itu ada Tuhan. Ini adalah sesuatu yang mustahil dalam kepercayaan agama Kristian.

Ramai juga yang keliru apabila mereka membaca Al-Kitab dan menjumpai kata-kata Yesus yang menunjukkan Dia tidak tahu hari terakhir (Matius 24:36), Dia tidak boleh melakukan sesuatu dengan sendiri (Yohanes 5:30) dan Dia mengaku bahawa hanya Tuhan Bapa sahaja Tuhan yang benar (Yohanes 17:3). Fakta-fakta sebegini sering kali terlintas di fikiran muda-mudi orang Kristian dan menganggu iman mereka mengenai keilahian Yesus.

Sebenarnya kesulitan ini senang diatasi sekiranya orang-orang Kristian sedar bahawa di dalam teologi agama Kristian, Yesus itu bukan sahaja Tuhan; Dia juga adalah manusia. Dia bukan separuh Tuhan dan separuh manusia. Yesus adalah Tuhan yang benar dan juga manusia yang benar. Ini bukan suatu percanggahan tetapi kewujudan bersama (co-existence). Oleh itu kita boleh mengatakan Yesus itu adalah Tuhan-manusia, ataupun Tuhan dalam rupa bentuk manusia dan rupa bentuk Tuhan yang tidak kelihatan.

Sebagai Tuhan, Yesus ada ciri-ciri Tuhan; dan sebagai manusia, Dia juga ada ciri-ciri manusia. Kedua-dua ciri ini sama-sama benar dan wujud bersama. Kekeliruan sering kali berlaku apabila seseorang mengunakan ciri-ciri manusia Yesus untuk menyoal keilahian Dia. Ini tidak betul kerana ciri-ciri manusia Yesus adalah untuk alam manusia Yesus. Untuk menyoal keilahian Yesus, seseorang perlu mengunakan ciri-ciri ilahi Dia.

Yesus bukan manusia yang dijadikan Tuhan. Tetapi Dia adalah Tuhan yang menjadi manusia. Semasa Dia menjadi manusia, Dia tidak pernah berhenti sebagai Tuhan. Bahkan Dia adalah Tuhan yang benar dan juga manusia yang benar. Hakikatnya, keilahian dan kemanusiaan Dia adalah kebenaran yang sama-sama wujud.

2. Tuhan Yang Benar

Pada mulanya, Yesus memang Tuhan kerana Dia adalah Firman Tuhan yang wujud bersama-sama Tuhan. Al-Kitab mengatakan, “Sebelum dunia ini diciptakan, Firman sudah ada. Firman itu bersama-sama Tuhan, Dan Firman itu sama dengan Tuhan” (Yoh 1:1).

Oleh kerana Yesus itu Firman Tuhan, maka Dia adalah Tuhan dan juga dipanggil Anak Tuhan. Panggilan Anak Tuhan mempunyai erti hubungan rohani di antara Firman Tuhan (Anak) dan Tuhan (Bapa). Ini tidak bermaksud Tuhan beristeri dan beranak seperti manusia yang berkahwin dan ada anak menerusi perkahwinan tersebut. Ini juga tidak bermaksud Yesus adalah Tuhan yang satu lagi, kerana Yesus sebagai Firman Tuhan adalah sama dengan Tuhan, bersama dengan Tuhan, dan tidak boleh diasingkan daripada Tuhan. Ini adalah kerana Tuhan (Bapa), Firman Tuhan (Anak) dan Roh Tuhan (Roh Kudus) adalah satu.

Apabila Yesus mengatakan hanya Tuhan Bapa sahaja Tuhan yang benar (Yoh 17:3), kata-kata ini tidak mengecualikan Yesus sebagai Tuhan. Ini adalah kerana Yesus itu adalah Firman Tuhan yang tidak boleh diasingkan daripada Tuhan. Justeru, Yesus adalah termasuk dalam “satu-satunya Tuhan yang benar” (Yoh 17:3). Oleh kerana itu, sebagai Firman Tuhan, Yesus juga boleh mengatakan Dia tidak dapat melakukan apa-apa menurut kehendak-Nya sendiri (Yoh 5:30) tanpa menyangkal keilahian-nya. Hakikatnya, Tuhan tidak akan melakukan sesuatu tanpa FirmanNya dan FirmanNya tidak akan melakukan sesuatu tanpa Tuhan.

Orang-orang Kristian sering bertanya, sekiranya Yesus itu Tuhan, kenapa Dia tidak pernah secara langsung mengatakan “Aku adalah Tuhan”. Sebenarnya Yesus ada mengatakan Dia adalah Tuhan dengan cara Dia sendiri, secara langsung dan tidak langsung, seperti berikut:

  • “Aku akan menjadi Tuhannya” (Wahyu 21:7)
  • “Aku memang Guru dan Tuhan” (Yohanes 13:13)
  • “Akulah Tuhan yang pertama dan yang akhir, Akulah Tuhan dari permulaan sampai penghabisan” (Wahyu 21:6)
  • “Orang yang telah melihat Aku sudah melihat Bapa” (Yohanes 14:9)
  • “‘Akulah yang pertama dan yang terakhir,’ Firman Tuhan, Tuhan Yang Maha Kuasa, yang ada, yang sudah ada, Dan yang akan datang” (Wahyu 1:8)

Sebagai Tuhan, Yesus adalah:

  • Maha Kuasa: Yesus mengatakan Dia adalah yang maha kuasa (Wahyu 1:8)
  • Maha Hadir: Yesus adalah maha hadir kerana Dia mengakatan “Apabila dua atau tiga orang berkumpul kerana Aku, Aku pun di situ bersama-sama mereka” (Matius 18:20)
  • Maha Tahu: Bukti Yesus yang maha tahu boleh dilihat pada Yohanes 1:48; Yohanes 13:11; Yohanes 16:30; Yohanes 21:17; Matius 22:18; Matius 12:25; Lukas 6:8 dan Wahyu 2:23
  • Kekal: Kekalan Yesus boleh dilihat pada Yohanes 8:58; Isaiah 9:6; Kolose 1:17; 1 John 1:1; Wahyu 1:17; dann Wahyu 1:8.
  • Pencipta: Sebagai Firman Tuhan, Yesus bersama-sama Tuhan dan Roh Tuhan mencipta alam semesta dan semua isinya (Kejadian 1:1-3).

3. Manusia Yang Benar

Yesus adalah juga manusia yang benar. Dia adalah Firman Tuhan yang menjadi manusia (Yoh 1:14). Dengan berbuat demikian, walaupun Dia memang ilahi, Dia telah “melepaskan segala-galanya” dan hidup seperti manusia (Filipi 2:6-8).

Ini bermaksud, walaupun di dalam alam keilahian Dia, Yesus adalah maha kuasa, maha tahu, maha hadir dan kekal, tetapi apabila Dia menjadi manusia, Dia telah melepaskan ataupun tidak memasukkan ciri-ciri ilahi ini daripada alam kemanusiaan Dia. Sebab itu Yesus, di dalam alam kemanusiaanNya, tidak tahu hari terakhir (Matius 24:36) dan boleh mati. Tetapi pada waktu yang sama, Yesus yang ilahi tahu hari terakhir dan tidak pernah mati (hanya tubuh manusia Dia sahaja yang mati).

Sebagai Tuhan, Yesus disembah dan menerima doa manusia; sebagai manusia, Yesus menyembah Tuhan Bapa, berdoa kepada Tuhan Bapa dan memanggil Tuhan Bapa sebagai Tuhan. Sebagai Tuhan, Yesus tidak memerlukan makanan, minuman, rehat dan tidak boleh mati; Sebagai manusia, Yesus makan, minum, rehat dan mati. Sebagai Tuhan, Yesus tidak kelihatan, namun sebagai manusia Dia boleh dilihat.

4. Tuhan-Manusia

Anak Manusia adalah nama yang sering digunakan Yesus untuk merujuk kepada diri-Nya. Di dalam Injil, Yesus mengunakan gelaran ini lebih daripada 80 kali. Gelaran ini bukan menunjukkan Yesus itu hanya sekadar seorang manusia. Maknanya boleh kita hayati daripada kitab Daniel:

Aku terus melihat dalam penglihatan malam itu, tampak datang dengan awan-awan dari langit seorang seperti anak manusia; datanglah ia kepada Yang Lanjut Usianya itu, dan ia dibawa ke hadapan-Nya. Lalu diberikan kepadanya kekuasaan dan kemuliaan dan kekuasaan sebagai raja, maka orang-orang dari segala bangsa, suku bangsa dan bahasa mengabdi kepadanya. Kekuasaannya ialah kekuasaan yang kekal, yang tidak akan lenyap, dan kerajaannya ialah kerajaan yang tidak akan musnah.

~ Daniel 7:13-14

Daripada petikan ini, kita mendapati bahawa Anak Manusia itu adalah Tuhan dalam rupa bentuk manusia. Dia adalah Tuhan kerana semua manusia mengabdikan diri kepadaNya dan Dia mempunyai kuasa dan pemerintahan yang kekal dan tidak akan berakhir. Keterangan seperti ini membuktikan bahawa “seorang seperti anak manusia” adalah Tuhan kerana hanya Tuhan sahaja yang ada kuasa dan pemerintahan yang kekal dan tidak akan berakhir.

Setiap kali Yesus memanggil diriNya Anak Manusia, Dia mengisytiharkan dan mengaku bahawa Dia adalah Tuhan-Manusia, atau Tuhan dalam rupa-bentuk Manusia dan rupa-bentuk Tuhan yang tidak kelihatan. Ini adalah benar kerana Yesus itu adalah Firman Tuhan, dan Firman Tuhan adalah Tuhan; dan Firman Tuhan itu menjadi manusia.

Get articles delivered straight to your inbox. Sign up for our mailing list here.

Follow us on:

Related Articles

Witnessing Christ through Sorrow and Pain

As an apologist, questions of pain and suffering are among the toughest I have attempted to address. It is one thing to respond to an atheist making an argument like the one commonly attributed to the Greek philosopher, Epicurus: "Is God willing to prevent evil, but not able? Then he is not omnipotent. Is he able, but not willing?...

Samuel Nesan
福音特稿Part 3: 蒙羞受死的王,荣耀复活

最终,彼拉多决定处死耶稣。在当时,囚犯送往十字架受刑前,往往会被士兵折磨一番。马可福音15章16-20节记载,士兵们用荆棘编成冠冕戴在耶稣头上,这充满利刺的冠冕...

Andy Ng
福音特稿Part 2: 一个精心安排的计划—让王,代替死囚

耶稣是在一个犹太人重要的节日——逾越节——被钉十字架的。逾越节有上千年历史,源自于神把犹太人从埃及拯救出来的事件。当时,神要犹太人杀死一只羊,把羊血抹在门口。这样,当神审判时...

Andy Ng