November 06, 2023

Berkat dalam Perjanjian Baru: Gagasan Berkat dalam Teologi Alkitabiah (Bahagian 3)

Berkat dalam Perjanjian Baru: Gagasan Berkat dalam Teologi Alkitabiah (Bahagian 3)

Paul Barker

5 Minute Read

Kita telah melihat dalam hantaran yang lalu bahawa umat Tuhan dalam Perjanjian Lama boleh berharap untuk menerima berkat-berkat di dunia ini. Tuhan telah mengurniai mereka kesuburan, wilayah negeri dan kemakmuran sebagai tanda-tanda perkenanan-Nya, dan berkat-berkat itu juga merupakan sebahagian daripada rencana Tuhan untuk memberkati seluruh dunia. Namun demikian, apakah yang berlaku kepada berkat-berkat tersebut selepas kedatangan Kristus? Bolehkah orang Kristian berharap untuk diberkati dengan cara yang sama?

Keturunan

Janji tentang “benih” atau keturunan yang diberikan kepada Abraham telah mengalami pembaharuan yang menakjubkan dalam Perjanjian Baru. Pertama, Yesus sendiri merupakan penggenapan bagi benih yang dijanjikan itu (Gal. 3:16). Kedua, seperti yang dijelaskan oleh Paulus dalam Roma 4:11–12, anak-anak Abraham kini termasuk orang-orang bukan Yahudi yang beriman kepada Yesus. Mereka yang semata-mata mengandalkan diri berdarah Yahudi telah dikecualikan, sebaliknya orang Yahudi dan bukan Yahudi yang beriman kepada Yesus kini dianggap sebagai keturunan Abraham. Gereja itulah Israel yang sebenarnya; “umat terpilih…. bangsa suci,” (1 Pet. 2:9 AVB). Paulus memberitakan bahawa janji Tuhan untuk memberkati bangsa-bangsa melalui Abraham telah digenapi kerana “semua orang yang beriman diberkati bersama Abraham yang beriman” (Gal. 3:9 AVB). Mulai sekarang, garis keturunan sudah tidak lagi penting.

Tanah

Janji Tuhan untuk mengurniakan tanah warisan kepada Abraham juga mengikut arah laluan yang sama dalam Perjanjian Baru.

Pertama, janji tersebut diperluaskan untuk merangkumi seluruh bumi atau dunia. Walaupun janji Tuhan dalam Kejadian 12:1 berfokus pada tanah Kanaan, Paulus berbicara tentang sebuah janji di mana Abraham “akan mewarisi dunia” (Rom. 4:13). Di sini kita melihat contoh bagi suatu corak yang John Stott sebutkan sebagai “penggenapan nubuat Alkitab [yang] sentiasa melangkaui kategori-kategori asal ketika ia diberikan.” Perluasan itu mencerminkan janji bahawa semua bangsa di bumi akan diberkati melalui Abraham.[1] Dunn juga berhujah bahawa Paulus memahami janji-janji Tuhan kepada Abraham secara keseluruhan, yang membawa kepada pemulihan seluruh dunia—Paulus melihatnya sebagai tidak terhad kepada pemilikan wilayah negeri dan sebagai bersifat eskatologi.[2] Tom Wright menyebutnya sebagai “salah satu pembaharuan paling menakjubkan yang boleh dibayangkan dalam pemikiran lazim Yahudi” dan kenyataannya adalah betul. [3]

Perpanjangan yang serupa dengan janji pemberian tanah juga terdapat dalam Matius 5:5, yang menerapkan Mazmur 37:11. Mazmur tersebut merujuk kepada pewarisan tanah (eretz) tetapi Yesus “menerapkannya, bukan dari segi pemilikan wilayah negeri, melainkan dari segi pembelaan muktamad bagi orang-orang yang lemah lembut.”[4] Ini merujuk kepada bumi yang dipulihkan, kata Hagner.[5] Hare turut mencadangkan bahawa percakapan mengenai pewarisan bumi tersebut merupakan cara lain untuk merujuk kepada kerajaan syurga.[6]

Kedua, Perjanjian Baru mengalihkan tumpuan daripada tanah/bumi kepada syurga.[7] Istilah-istilah warisan biasanya merujuk kepada tanah dalam PL. Tetapi dalam 1 Petrus 1:4 dan Kolose 1:12, para rasul berbicara mengenai warisan syurgawi. Peralihan ini juga dapat diperhatikan dalam pengumuman Yesus bahawa kerajaan-Nya “bukan dari dunia ini” (Yohanes 18:36); dan dalam rujukan kepada “tanah air syurgawi” serta “Yerusalem yang di syurga” yang tercatat dalam surat kepada orang Ibrani (Ibr. 11:8–16; 12:22).

Berkat

Ini membawa kita kepada tema berkat dalam Perjanjian Baru. Tidak menghairankan, tema ini juga mengikuti arah laluan yang sama seperti yang baru kita lihat berkenaan dengan janji tanah warisan dan keturunan. Teologi kemakmuran gagal memahami perkembangan ini.

Dalam Khutbah di Bukit, Yesus mengumumkan serangkaian berkat yang amat kita kenali, dan apa yang menarik mengenai berkat-berkat tersebut adalah ketiadaan gagasan berkaitan kemakmuran: “merekalah yang empunya kerajaan syurga;” “mereka akan terhibur;” “mereka akan mewarisi bumi ini;” “mereka akan dipuaskan;” “mereka akan dikasihani;” “mereka akan melihat Allah;” “mereka akan dipanggil anak-anak Allah;” “kerajaan syurga untuk mereka;”—dan memuncak dengan “kerana besar ganjaranmu di syurga.” Perspektif eskatologi adalah jelas. Hampir semuanya digambarkan berlaku di masa hadapan.

Perspektif yang berfokus pada masa hadapan ini adalah lebih jelas dalam Injil Lukas di mana kita membaca, misalnya, “malangnya kamu yang kaya, kerana kamu telah beroleh hidup yang senang-lenang” (Lukas 6:24). Kemakmuran duniawi bukan lagi tanda bagi berkat Tuhan. Pakej berkat bagi sebuah bangsa yang berketurunan daripada Abraham, yang tinggal di tanah air yang makmur, telah diubah oleh Yesus menjadi sebuah jemaah yang berasal daripada semua bangsa, yang mewarisi tanah air surgawi serta berkat-berkat syurgawi. Tidak hairanlah Paulus menyatakan bahawa Tuhan “telah memberkati kita dengan segala berkat rohani di syurga dalam Kristus” (Efesus 1:3). Oleh itu, Yesus juga adalah kunci bagi penggenapan janji berkat.

Penerapan berkat eskatologi ini juga menjelaskan bagaimana Perjanjian Baru boleh mengembangkan tema berkat melalui penderitaan. Berkat-berkat yang diucapkan oleh Yesus mencapai kemuncaknya pada janji-janji kepada orang-orang yang dihina dan dianiaya (Mat. 5:10–12). Petrus juga berbicara tentang berkat melalui penganiayaan, “Sekiranya kamu dicela kerana menjadi pengikut dan mengambil nama Kristus, diberkatilah kamu kerana Roh yang mulia iaitu Roh Allah ada bersamamu” (1 Pet. 4:14).

Ada orang mengatakan bahawa Perjanjian Baru kurang menonjolkan idea berkat.[8] Tetapi mereka yang menjadi kepunyaan Allah masih diberkati—mereka diberkati di dalam Kristus.[9] Berkat-berkat yang mereka alami termasuk berkat pengampunan (Roma 4:7–9); kemampuan untuk percaya tanpa melihat (Yohanes 20:29); dan berkat-berkat bagi para martir dalam Buku Wahyu (14:13; 16:15; 19:9; 22:7, 14). Seperti yang disebut oleh Mary Evans: “Berkat-berkat ini berkait rapat dengan pekerjaan Yesus. Yesuslah yang, melalui kehidupan, kematian dan kebangkitan-Nya, membolehkan orang Yahudi dan bukan Yahudi sama-sama mewarisi berkat-berkat yang dijanjikan melalui Abraham.”[10]

Oleh itu, berkat-berkat dalam Perjanjian Lama masih tersedia, namun dalam bentuk yang berubah dan bersifat eskatologi. Bagi mereka yang di dalam Kristus, terdapat bangsa yang lebih unggul, “tanah” yang lebih unggul, dan berkat-berkat yang lebih unggul. Lalu bagaimana dengan jangkaan-jangkaan yang dikemukakan oleh teologi kemakmuran? Dalam hantaran terakhir nanti, kita akan memberi respons terhadap pendekatan moden tersebut dengan menggunakan kerangka yang telah kita dapati melalui tinjauan teologi biblikal.

Rujukan:
[1] John R. W. Stott, The Message of Romans: God’s Good News for the World (BST; Leicester: IVP, 1994) 130.

[2] James D. G. Dunn, Romans 1–8 (WBC; Louisville, KY: Word, 1988) 213.

[3] N. T. Wright, 73.

[4] R. T. France, Matthew (TNTC; Leicester: IVP, 1985) 110.

[5] Donald A. Hagner, Matthew 1–13 (WBC; Dallas, TX: Word, 1993) 92. Beliau menyamakan hal ini dengan cara Paulus menggunakan istilah kosmos dalam Roma 4:13 (lihat di bawah)

[6] Douglas R. A. Hare, Matthew (Interpretation; Louisville, KY: John Knox Press, 1993) 39.

[7] Dua buah aspek pembaharuan, iaitu dunia dan syurga, mungkin tidaklah begitu berbeza. Tom Wright, Chris Wright dan banyak lagi penulis menekankan bahawa langit dan bumi yang baru sebenarnya adalah kosmos, iaitu langit dan bumi yang sekarang ini, yang telah diperbaharui.

[8] Link, H.-G., “eulogia,” New International Dictionary of New Testament Theology (ed. C. Brown; IVP, 1975) Vol 1:212. Lihat juga pemakaian istilah makarios dalam U. Becker, “Makarios,” New International Dictionary of New Testament Theology (ed. C. Brown; IVP, 1975) Vol 1:215-218.

[9] Matius 5:3–11; 25:34; Lukas 6:20–22; 11:28; Roma 4:7–8; Efesus 1:3; Yakobus 5:11; Wahyu 19:9; 20:6; 22:14.

[10] Mary J. Evans, “Blessing, Curse” dalam New Dictionary of Biblical Theology (eds. T. D. Alexander, B. S. Rosner; Downers Grove, IL/Leicester: IVP, 2000) 400.

This article was originally published by The Gospel Coalition Australia and has been translated and republished with permission of the author.

Get articles delivered straight to your inbox. Sign up for our mailing list here.

Follow us on:

Paul Barker is an Assistant Bishop in the Anglican Diocese of Melbourne. Until 2016 he was Regional Coordinator for Asia for Langham Preaching, a Visiting Lecturer at Myanmar Evangelical Graduate School of Theology and taught in a variety of other Asian seminaries. He is the author of The Triumph of Grace in Deuteronomy, a book of expositions on Amos and other articles and short books. Formerly he was Senior Minister of Holy Trinity Anglican Church Doncaster, Melbourne.

Related Articles

Berkat Pada Hari Ini: Sebuah Teologi Alkitabiah tentang Berkat (Bahagian 4)
Berkat dalam Perjanjian Baru: Gagasan Berkat dalam Teologi Alkitabiah (Bahagian 3)

Dalam hantaran yang lalu mengenai teologi kemakmuran, kita telah melihat kepentingan berkat dalam Perjanjian Lama dan memperhatikan bagaimana ia digenapi dan diperluaskan dengan kedatangan Kristus. Yesus bukan sahaja menjadikan janji Tuhan tentang berkat dalam Perjanjian Lama sebuah kenyataan, tetapi Dia juga memperluaskan rangkumannya: ke seluruh dunia; hingga ke syurga; dan sampai masa hadapan...

Paul Barker
Diberkati Untuk Menjadi Kaya? Sebuah Teologi Alkitabiah Tentang Berkat (Bahagian 2)
Berkat dalam Perjanjian Baru: Gagasan Berkat dalam Teologi Alkitabiah (Bahagian 3)

Dalam hantaran sebelum ini, kita mula menerokai teologi kemakmuran—idea di mana orang Kristian harus mengharapkan berkat material yang sama seperti yang dinikmati oleh umat Tuhan dalam era Perjanjian Lama. Kita telah melihat beberapa respons berbeza yang dibuat terhadap gerakan kemakmuran dan menyimpulkan bahawa adanya keperluan untuk menggunakan pendekatan teologi alkitabiah...

Paul Barker
Diberkati Untuk Menjadi Kaya? Sebuah Teologi Alkitabiah Tentang Berkat (Bahagian 1)
Berkat dalam Perjanjian Baru: Gagasan Berkat dalam Teologi Alkitabiah (Bahagian 3)

Secara ringkasnya, teologi kemakmuran mengatakan bahawa Tuhan ingin umat-Nya menjadi kaya. James Tinney menyimpulkannya sebagai: “Allah memilikinya, saya dapat memilikinya, dan dengan iman saya akan mendapatkannya.” Oral Roberts, salah seorang pengasas gerakan itu, mengambil petunjuk dari 3 Yohanes 2: “Aku berdoa semoga kamu berada dalam keadaan sejahtera serta sihat jasmanimu sebagaimana rohanimu berbahagia...

Paul Barker