Berkat Pada Hari Ini: Sebuah Teologi Alkitabiah tentang Berkat (Bahagian 4)
Dalam hantaran yang lalu mengenai teologi kemakmuran, kita telah melihat kepentingan berkat dalam Perjanjian Lama dan memperhatikan bagaimana ia digenapi dan diperluaskan dengan kedatangan Kristus. Yesus bukan sahaja menjadikan janji Tuhan tentang berkat dalam Perjanjian Lama sebuah kenyataan, tetapi Dia juga memperluaskan rangkumannya: ke seluruh dunia; hingga ke syurga; dan sampai masa hadapan. Bagi mereka yang berada di dalam Kristus, ada berkat yang lebih unggul, “tanah” yang lebih unggul, dan berkat yang lebih unggul.
Apabila kita meneliti teologi kemakmuran di bawah sinaran perkembangan Alkitabiah tersebut—iaitu dengan mengikuti aliran Kitab Suci dan bukannya sekadar memperdebatkan butiran-butiran eksegesis pada ayat-ayat tertentu—kepincangan asas teologi kemakmuran menjadi jelas.
Ajaran kemakmuran gagal memahami (secara sengaja atau tidak) arah tujuan janji-janji mengenai kemakmuran dalam Perjanjian Lama. Ia gagal menelusuri aliran sungai besar yang mengalir melalui seluruh Alkitab mencapai kemuncak di dalam Kristus. Teologi kemakmuran gagal melihat bagaimana perkara-perkara tertentu berkembang merentasi Perjanjian Lama dan Perjanjian Baru. Teologi kemakmuran salah memahami perkembangan janji-janji Tuhan kepada Abraham dalam Perjanjian Baru. Paling baik pun, teologi kemakmuran sekadar memindahkan tema-tema Perjanjian Lama kepada orang Kristian hari ini secara mudah. Yang paling teruk, ia memberikan alasan untuk bersikap tamak dengan bertopengkan sebuah teologi sesat.
Kesalahan teologi kemakmuran yang lebih serius adalah dengan mengetepikan Yesus. Ia gagal untuk memahami sifat ajaran-Nya tentang kerajaan mahupun cara Dia mentransformasikan perjanjian lama (perjanjian Sinai). Ahli-ahli teologi kemakmuran, seperti orang-orang yang memperjuangkan identiti Yahudi (para lawan rasul Paulus dalam Surat Galatia) di abad pertama atau mereka yang taksub dengan tanah Palestin pada hari ini, memperlakukan Yesus sebagai alat untuk mencapai tujuan mereka. Mereka sebenarnya menjadikan perkara lain—berkat, tanah atau bangsa—sebagai matlamat akhir untuk dicapai melalui Yesus. Mereka gagal untuk melihat bagaimana Dia menawarkan kepada kita sesuatu yang lebih unggul di dalam diri-Nya.
Tempat bagi Kemakmuran
Justeru itu, bagaimana seharusnya kita memikirkan perihal kemakmuran? Di manakah ia berlaku dalam kalangan orang percaya?
Pertama, kita harus memikirkannya dalam erti atau dari segi misi. Keturunan Abraham akan diberkati demi bangsa-bangsa (Kejadian 12:2–3). Israel akan mentaati Tuhan dan diberkati; dan oleh itu bangsa-bangsa lain akan tertarik kepada Yahweh (Ulangan 4:5–8). Sebahagian daripada pola ini diteruskan dalam perintah Yesus agar kita “menggunakan kekayaan dunia untuk mendapat sahabat bagi dirimu. Apabila kekayaanmu lenyap, kamu akan disambut ke tempat kediaman yang kekal” (Lukas 16:9).
Kedua, kita perlu beringat bahawa kemakmuran duniawi harus dikongsi dengan orang-orang miskin. Hukum (Taurat) Sinai, ajaran Yesus, teladan daripada gereja awal dan usaha Paulus mengumpul sumbangan, semuanya menunjukkan pendirian yang konsisten mengenainya. Paulus menyimpulkannya seperti ini dalam ajarannya kepada Timotius:
“Perintahkan orang yang kaya pada masa ini supaya jangan angkuh, jangan berharapkan kekayaan yang sebenarnya tidak kekal, tetapi bergantunglah kepada Allah yang hidup, yang melimpahkan segala sesuatu kepada kita untuk dinikmati. Hendaklah mereka berbuat baik, supaya mereka kaya dengan amal kebajikan, sedia memberi, rela berkongsi. Dengan demikian mereka meletakkan asas yang teguh bagi diri mereka untuk hari kemudian supaya mereka dapat hidup kekal kelak.” (1 Timotius 6:17–19)
Ketiga, kita perlu memahami bahawa kekayaan duniawi adalah sementara. Kekayaan material dalam perjanjian lama adalah bayangan dari berkat-berkat perjanjian baru yang lebih unggul dan harta syurgawi yang tidak dapat pudar, binasa atau rosak. Orang Kristian yang kaya juga perlu beringat bahawa seperti rumput dia akan “layu… lalu musnah keindahannya… yang akan lenyap ketika mengurus perniagaannya” (Yakobus 1:11 AVB).
Akhir sekali, kita perlu mendengar amaran tentang kekayaan. Malah dalam Perjanjian Lama, seperti yang disentuh di atas, kekayaan material tidak berlaku sepenuhnya. Umat Tuhan yang setia mungkin menderita dan miskin. Kekayaan itu sendiri adalah berbahaya. Ini menjadi lebih jelas dalam Perjanjian Baru. Cinta akan wang adalah akar kejahatan; keinginan untuk menjadi kaya adalah suatu jerat (1 Tim. 6:9–10).
Tidak ada dasar Alkitabiah untuk menjanjikan kekayaan material kepada orang-orang percaya pada hari ini. Alkitab adalah injil yang mencukupi dan merangkumi semua orang, bukan injil individualistik tentang kemakmuran.
This article was originally published by The Gospel Coalition Australia and has been translated and republished with permission of the author.
Get articles delivered straight to your inbox. Sign up for our mailing list here.
Follow us on:
Paul Barker is an Assistant Bishop in the Anglican Diocese of Melbourne. Until 2016 he was Regional Coordinator for Asia for Langham Preaching, a Visiting Lecturer at Myanmar Evangelical Graduate School of Theology and taught in a variety of other Asian seminaries. He is the author of The Triumph of Grace in Deuteronomy, a book of expositions on Amos and other articles and short books. Formerly he was Senior Minister of Holy Trinity Anglican Church Doncaster, Melbourne.
Related Articles
Berkat dalam Perjanjian Baru: Gagasan Berkat dalam Teologi Alkitabiah (Bahagian 3)
Kita telah melihat dalam hantaran yang lalu bahawa umat Tuhan dalam Perjanjian Lama boleh berharap untuk menerima berkat-berkat di dunia ini. Tuhan telah mengurniai mereka kesuburan, wilayah negeri dan kemakmuran sebagai tanda-tanda perkenanan-Nya, dan berkat-berkat itu juga merupakan sebahagian daripada rencana Tuhan untuk memberkati seluruh dunia. Namun demikian, apakah yang berlaku kepada berkat-berkat...
Diberkati Untuk Menjadi Kaya? Sebuah Teologi Alkitabiah Tentang Berkat (Bahagian 2)
Dalam hantaran sebelum ini, kita mula menerokai teologi kemakmuran—idea di mana orang Kristian harus mengharapkan berkat material yang sama seperti yang dinikmati oleh umat Tuhan dalam era Perjanjian Lama. Kita telah melihat beberapa respons berbeza yang dibuat terhadap gerakan kemakmuran dan menyimpulkan bahawa adanya keperluan untuk menggunakan pendekatan teologi alkitabiah...
Diberkati Untuk Menjadi Kaya? Sebuah Teologi Alkitabiah Tentang Berkat (Bahagian 1)
Secara ringkasnya, teologi kemakmuran mengatakan bahawa Tuhan ingin umat-Nya menjadi kaya. James Tinney menyimpulkannya sebagai: “Allah memilikinya, saya dapat memilikinya, dan dengan iman saya akan mendapatkannya.” Oral Roberts, salah seorang pengasas gerakan itu, mengambil petunjuk dari 3 Yohanes 2: “Aku berdoa semoga kamu berada dalam keadaan sejahtera serta sihat jasmanimu sebagaimana rohanimu berbahagia...