June 15, 2020

Sola Scriptura: Dulu dan Sekarang

Sola Scriptura: Dulu dan Sekarang

Wilston Trin

5 Minute Read
Sola Scriptura

Bagi mereka yang peka akan sejarah Kristiani, sudah pastinya mereka akan menyedari bahawa hari ini, 31 Oktober, adalah hari yang bersejarah di dalam sejarah Kristiani. Ini adalah kerana hari ini ialah hari di mana umat Kristian Protestant seluruh dunia menyambut ulangtahun ke-500 gerakan reformasi yang bermula di benua Eropah pada kurun ke-16. Gerakan ini sungguh luar biasa kerana ianya bukan sahaja mengubah dinamik Gereja Kristian sehingga sekarang (di mana wujudnya aliran gereja Protestant), bahkan juga mengubah dinamik sosial dan politik di Eropah secara khusus, dan di seluruh dunia, secara amnya.

Sola Scriptura: Alkitab atau Gereja yang berautoriti?

Salah satu persoalan yang hangat pada ketika itu ialah: yang manakah lebih berautoriti ke atas umat Kristian dan Gereja – Alkitab atau gereja Roman Katolik (tradisinya, titah dan ajaran paderi atau Pope, dsb.)? Bagi gereja Roman Katolik pada masa itu, seluruh kepercayaan dan praktik umat Kristian haruslah di bawah taklukan gereja dan yang diketuai Pope yang berpusat di Rome. Maksudnya, gereja (dan hanya gereja sahaja) mempunyai kuasa mutlak untuk mentafsirkan Alkitab dan memberitahu apa yang umatnya harus percaya dan bagaimana mereka harus mempraktikkannya. Sesiapa yang berani membantah atau tidak bersetuju dengan mereka, hukumannya ialah dibuang keahlian gereja (excommunication) – dan menurut gereja Roman Katolik, tiada keselamatan bagi mereka yang diluar keahliannya. Hal ini menjurus kepada banyaknya ajaran yang menyimpang daripada ajaran asli Alkitab yang digunakan untuk memanipulasikan umat Kristian demi kepentingan gereja pada masa itu. Antaranya ialah ajaran di mana seseorang boleh memperoleh keselamatan dengan cara membeli tiket (indulgences) daripada pihak gereja.

Maksud ‘Sola Scriptura’

Melihatkan betapa banyaknya ajaran terpesong di dalam gereja pada waktu itu, ianya menyebabkan seorang rahib yang juga seorang profesor teologi bernama Martin Luther, ingin mengubah keadaan tersebut. Bagi beliau, satu-satunya autoriti yang layak memerintah di dalam kehidupan orang Kristian dan Gereja ialah melalui Firman Allah. Bagi beliau, Gereja hanya mempunyai autoriti di dalam ajarannya selagi ianya mengajarkan tentang kebenaran Firman Allah dengan sebetulnya. Akibat daripada pemahaman itu, umat Kristian aliran Protestant kini berpegang kepada salah satu (di antara 4 yang lain) slogan pada zaman reformasi – iaitu Sola Scriptura (Scripture Alone).

Sola Scriptura berasal daripada bahasa Latin yang di mana ‘sola’ bermaksud “hanya (alone)” dan ‘scriptura’ bermaksud “tulisan (writings)” yang merujuk kepada Firman Allah. Bagi Martin Luther dan Bapa Reformasi yang lain, hanya Firman Allah sahaja yang sempurna (infallible) dan mempunyai autoriti ke atas umat Kristian dan Gereja dari segi iman dan praktik Kristiani. Ini tidak bermaksud bahawa tradisi dan pemahaman ahli teologi sejak bermulanya sejarah Kristiani itu tidak berharga (bahkan tokoh-tokoh Reformasi sendiri seringkali merujuk kepada ajaran Bapa Gereja di dalam ajaran mereka), tetapi ianya tidak setaraf dan tidak sempurna (fallible) jika dibandingkan dengan Firman Allah.

Secara ringkasnya, boleh dikatakan bahawa reformasi yang berlaku pada abad ke-16 di benua Eropah adalah akibat daripada perbalahan kuasa di antara gereja Roman Katolik, dan Bapa Reformasi yang mengatakan bahawa hanya Firman Allah yang berkuasa. Perjuangan tokoh-tokoh reformasi pada waktu itu adalah untuk mengembalikan Firman Allah ke tempat yang terutama di dalam iman dan praktik Kristiani akibat daripada pencemaran ajaran di dalam gereja.

Apakah yang boleh kita pelajari daripada perjuangan reformasi?

Bagi kita umat Kristian yang hidup pada abad ke-21, mungkin ada yang tertanya-tanya: apakah yang boleh kita pelajari daripada perjuangan tokoh-tokoh reformasi pada abad ke-16? Apakah yang mereka perjuangkan pada abad ke-16 masih relevan bagi kita pada abad ke-21?

Secara ringkasnya, boleh dikatakan bahawa perjuangan tokoh-tokoh reformasi untuk mengembalikan takhta Firman Allah adalah masih relevan bagi umat Kristian pada abad ke-21. Mengapa demikian? Ini adalah kerana takhta Firman Allah sebagai yang terutama di dalam iman dan praktik umat Kristian sekarang masih lagi digugat oleh elemen-elemen lain. Contohnya, pada zaman ini, terutamanya selepas bangkitnya gerakan Karismatik dan Pentikosta pada abad ke-20, Firman Allah semakin diketepikan dan dipinggirkan. Umat Kristian lebih percaya kepada emosi subjektif mereka sendiri untuk menentukan iman dan praktik Kristiani mereka. Bagi mereka, apa yang mereka rasa itu lebih penting daripada apa yang dikatakan melalui Firman Allah. Lebih teruk lagi, banyak umat Kristian yang taksub akan visi, mimpi dan keajaiban untuk menentukan kebenaran iman mereka — seolah-olah apa yang tertulis di dalam Alkitab itu tidak cukup benar dan ianya harus disokong oleh elemen-elemen lain. Contohnya, tidak cukup apabila Alkitab mengatakan bahawa syurga dan neraka itu wujud, ianya harus disokong oleh testimoni-testimoni mereka yang mendakwa pernah “menziarahi” syurga dan neraka. Bahkan ada ramai juga umat Kristian yang terpedaya dengan kata-kata pujangga dan nasihat-nasihat di internet dan kedengaran seakan-akan alkitabiah, tetapi bukan.

Tidak cukupkah Firman Allah untuk iman dan praktik Kristiani kita? Tidak cukupkah Roh Kudus yang menginspirasikan penulisan Firman Allah? Perlukah kita mencari dari sumber-sumber lain untuk mengetahui tentang iman dan praktik kita sebagai orang Kristian? Perlukah kita menggugat kedudukan Firman Allah yang objektif di tempat yang terutama di dalam kehidupan Kristiani kita dengan pengalaman-pengalaman, emosi, mimpi, visi, keajaiban dan nubuatan dari luar Alkitab (extra-biblical) yang bersifat subjektif?

Kesimpulan

Jadi apabila ditanya: masih relevankah perjuangan tokoh-tokoh reformasi abad ke-16 bagi kita pada abad ke-21 sekarang? Tentu sekali! Apa yang mereka perjuangkan adalah sama sekali apa yang kita patut perjuangkan pada hari ini. Kembalikan dan pertahankan takhta Firman Allah di dalam kehidupan Kristiani kita. Selami iman Kristiani kita dengan mempelajari dan memahami Alkitab secara mendalam dan menyeluruh. Hanya Firman Allah yang berautoriti di dalam kehidupan Kristiani kita.

Seperti yang Paulus katakan kepada Timotius:

“Alkitab itu boleh memberi engkau kebijaksanaan untuk mendapat keselamatan melalui iman kepada Kristus Yesus. Semua yang tertulis di dalam Alkitab diilhami oleh Allah dan berguna untuk mengajar apa yang benar, untuk menegur dan membetulkan apa yang salah, dan untuk mengajar orang supaya hidup menurut kehendak Allah. Dengan Alkitab, orang yang mengabdikan diri kepada Allah dapat dilengkapi dengan sempurna untuk melakukan segala macam pekerjaan yang baik.”

~ 2 Timotius 3:15-17

Sola Scriptura

Get articles delivered straight to your inbox. Sign up for our mailing list here.

Follow us on:

Wilston Trin is an Assistant Minister at St. Peter’s Anglican Church Saratok, a church under the Anglican Diocese of Kuching. He graduated with a B. Div. from Seminari Theoloji Malaysia and currently in a transition to do his MA (Theol.) at Moore Theological College, Sydney. His passion is to help people to understand and believe the gospel, as well as helping God’s people to grow in their knowledge and love of God.

Related Articles

Berkat Pada Hari Ini: Sebuah Teologi Alkitabiah tentang Berkat (Bahagian 4)
Sola Scriptura: Dulu dan Sekarang

Dalam hantaran yang lalu mengenai teologi kemakmuran, kita telah melihat kepentingan berkat dalam Perjanjian Lama dan memperhatikan bagaimana ia digenapi dan diperluaskan dengan kedatangan Kristus. Yesus bukan sahaja menjadikan janji Tuhan tentang berkat dalam Perjanjian Lama sebuah kenyataan, tetapi Dia juga memperluaskan rangkumannya: ke seluruh dunia; hingga ke syurga; dan sampai masa hadapan...

Paul Barker
Berkat dalam Perjanjian Baru: Gagasan Berkat dalam Teologi Alkitabiah (Bahagian 3)
Sola Scriptura: Dulu dan Sekarang

Kita telah melihat dalam hantaran yang lalu bahawa umat Tuhan dalam Perjanjian Lama boleh berharap untuk menerima berkat-berkat di dunia ini. Tuhan telah mengurniai mereka kesuburan, wilayah negeri dan kemakmuran sebagai tanda-tanda perkenanan-Nya, dan berkat-berkat itu juga merupakan sebahagian daripada rencana Tuhan untuk memberkati seluruh dunia. Namun demikian, apakah yang berlaku kepada berkat-berkat...

Paul Barker
Diberkati Untuk Menjadi Kaya? Sebuah Teologi Alkitabiah Tentang Berkat (Bahagian 2)
Sola Scriptura: Dulu dan Sekarang

Dalam hantaran sebelum ini, kita mula menerokai teologi kemakmuran—idea di mana orang Kristian harus mengharapkan berkat material yang sama seperti yang dinikmati oleh umat Tuhan dalam era Perjanjian Lama. Kita telah melihat beberapa respons berbeza yang dibuat terhadap gerakan kemakmuran dan menyimpulkan bahawa adanya keperluan untuk menggunakan pendekatan teologi alkitabiah...

Paul Barker