September 17, 2022

Peranan Pemikiran Dan Logik Di Dalam Iman Kristian

Peranan Pemikiran Dan Logik Di Dalam Iman Kristian

Wilston Trin

5 Minute Read

“Jangan Persoalkan, Terima Saja Dengan Iman”?

Seringkali kita mendengar frasa yang datangnya dari ramai orang Kristian yang berbunyi begini: “jangan persoalkan, terima saja dengan iman.” Secara umumnya, frasa ini datang daripada orang Kristian yang ikhlas mempercayai Alkitab. Masalahnya, frasa ini selalu digunakan untuk menepis soalan-soalan yang dalam dan susah dijawab berkaitan dengan Alkitab dan ajaran yang terkandung di dalamnya. Ia seolah-olah mengatakan bahawa semua yang berkaitan dengan iman Kristian harus diterima dengan iman dan kepercayaan sepenuhnya tanpa persoalan, tanpa memberi ruang untuk mempraktikkan logik dan pemikiran yang kritis. Jadi persoalannya, bagaimanakah akal fikiran dan logik memainkan peranan dalam kita cuba mendalami iman Kristian?

Manusia diciptakan menurut gambaran Allah

Pertamanya, kita harus mengetahui bahawa manusia diciptakan menurut gambaran Allah (Kej. 1:27). Ini bermaksud, manusia itu adalah ciptaan yang unik dan berlainan daripada ciptaan-ciptaan Allah yang lain (haiwan, contohnya). Keunikan ini termasuklah kemampuan bergaul (sosial), sahsiah (moral), dan juga mempunyai kebolehan berakal fikiran (mental). Namun begitu, setelah kejatuhan umat manusia ke dalam dosa (Kej. 3), kesemua keunikan manusia ini sudah tercemar oleh dosa – itu termasuklah kebolehan manusia berakal fikiran. Oleh kerana itu, kita harus sedar bahawa akal fikiran dan logik manusia itu terbatas akibat dosa, dan kita tidak mungkin dapat mengetahui segala yang kita patut ketahui di dalam dunia yang fana ini – termasuk juga semua yang berkaitan dengan iman Kristian. Rasul Paulus menggambarkannya seperti berikut:

𝘈𝘭𝘭𝘢𝘩 𝘺𝘢𝘯𝘨 𝘬𝘪𝘵𝘢 𝘭𝘪𝘩𝘢𝘵 𝘴𝘦𝘬𝘢𝘳𝘢𝘯𝘨 𝘪𝘯𝘪 𝘩𝘢𝘯𝘺𝘢 𝘴𝘦𝘱𝘦𝘳𝘵𝘪 𝘣𝘢𝘺𝘢𝘯𝘨𝘢𝘯 𝘬𝘢𝘣𝘶𝘳 𝘱𝘢𝘥𝘢 𝘤𝘦𝘳𝘮𝘪𝘯 𝘮𝘶𝘬𝘢. 𝘛𝘦𝘵𝘢𝘱𝘪 𝘬𝘦𝘭𝘢𝘬 𝘬𝘪𝘵𝘢 𝘢𝘬𝘢𝘯 𝘮𝘦𝘭𝘪𝘩𝘢𝘵-𝘕𝘺𝘢 𝘥𝘦𝘯𝘨𝘢𝘯 𝘫𝘦𝘭𝘢𝘴. 𝘚𝘦𝘬𝘢𝘳𝘢𝘯𝘨 𝘢𝘱𝘢 𝘺𝘢𝘯𝘨 𝘬𝘪𝘵𝘢 𝘬𝘦𝘵𝘢𝘩𝘶𝘪 𝘣𝘦𝘭𝘶𝘮 𝘭𝘦𝘯𝘨𝘬𝘢𝘱, 𝘵𝘦𝘵𝘢𝘱𝘪 𝘬𝘦𝘭𝘢𝘬 𝘢𝘬𝘶 𝘢𝘬𝘢𝘯 𝘮𝘦𝘯𝘨𝘦𝘵𝘢𝘩𝘶𝘪 𝘴𝘦𝘨𝘢𝘭𝘢 𝘴𝘦𝘴𝘶𝘢𝘵𝘶 𝘵𝘦𝘯𝘵𝘢𝘯𝘨 𝘥𝘪𝘳𝘪𝘬𝘶.

– 1 Kor. 13:12


Kejatuhan manusia dalam dosa, walaubagaimanapun, tidak sama sekali mengakibatkan manusia kehilangan gambaran Allah secara total. Boleh dikatakan bahawa masih ada “sisa” gambaran Allah di dalam umat manusia setelah kejatuhan ke dalam dosa. Ini termasuklah kemampuan intelek, berfikir dan logik. Oleh itu, kemampuan ini masih boleh digunapakai di dalam kehidupan seharian, malahan digunakan untuk mendalami, mengkaji, dan memahami Firman Tuhan demi mengetahui kehendak-Nya di dalam kehidupan kita.

Kasihi Tuhan dengan segenap hati, jiwa dan akal

Yesus, sewaktu ditanya apakah perintah Allah yang terbesar, menjawab seperti berikut:

“𝘒𝘢𝘴𝘪𝘩𝘪𝘭𝘢𝘩 𝘛𝘶𝘩𝘢𝘯 𝘈𝘭𝘭𝘢𝘩𝘮𝘶 𝘥𝘦𝘯𝘨𝘢𝘯 𝘴𝘦𝘱𝘦𝘯𝘶𝘩 𝘩𝘢𝘵𝘪𝘮𝘶, 𝘥𝘦𝘯𝘨𝘢𝘯 𝘴𝘦𝘨𝘦𝘯𝘢𝘱 𝘫𝘪𝘸𝘢𝘮𝘶, 𝘥𝘢𝘯 𝘴𝘦𝘭𝘶𝘳𝘶𝘩 𝘢𝘬𝘢𝘭𝘮𝘶”

Mat. 22:37, Mark. 12:30

Harus difahami di sini bahawa mengasihi Allah dengan segenap hati, jiwa dan akal adalah termasuk di dalam satu pakej. Tidak mungkin orang Kristian dapat mengatakan bahawa dia hanya ingin mengasihi Allah hanya dengan hatinya, atau hanya dengan jiwanya, atau hanya melalui akalnya – seolah-olah hati, jiwa dan akal itu boleh dipilih sepertimana membeli buah-buahan di pasar tani. Maka untuk mengasihi Allah, orang Kristian harus mengasihi-Nya dengan sepenuhnya – hati, jiwa dan akalnya. Adalah menyedihkan apabila melihat ramai orang Kristian yang mengutamakan hati dan jiwa sahaja, dan meninggalkan akal dan intelek mereka apabila bercakap tentang iman Kristiani dan juga di dalam kehidupan seharian mereka. Mengutamakan hati dan jiwa sahaja hanya akan menghasilkan orang Kristian yang tajam emosi, tetapi tumpul akal fikirannya.

Tumbuhlah dari segi akal fikiran

Bahkan Alkitab juga penuh dengan seruan untuk bertumbuh dari segi akal fikiran. Rasul Paulus berkata kepada jemaat di Roma,

𝘑𝘢𝘯𝘨𝘢𝘯𝘭𝘢𝘩 𝘪𝘬𝘶𝘵 𝘬𝘦𝘣𝘪𝘢𝘴𝘢𝘢𝘯 𝘥𝘶𝘯𝘪𝘢, 𝘵𝘦𝘵𝘢𝘱𝘪 𝘣𝘪𝘢𝘳𝘭𝘢𝘩 𝘈𝘭𝘭𝘢𝘩 𝘮𝘦𝘮𝘣𝘢𝘩𝘢𝘳𝘶𝘪 𝘤𝘢𝘳𝘢 𝘬𝘢𝘮𝘶 𝘣𝘦𝘳𝘧𝘪𝘬𝘪𝘳, 𝘴𝘦𝘩𝘪𝘯𝘨𝘨𝘢 𝘬𝘢𝘮𝘶 𝘥𝘢𝘱𝘢𝘵 𝘮𝘦𝘯𝘨𝘦𝘵𝘢𝘩𝘶𝘪 𝘬𝘦𝘩𝘦𝘯𝘥𝘢𝘬 𝘈𝘭𝘭𝘢𝘩 – 𝘪𝘢𝘪𝘵𝘶 𝘢𝘱𝘢 𝘺𝘢𝘯𝘨 𝘣𝘢𝘪𝘬 𝘥𝘢𝘯 𝘺𝘢𝘯𝘨 𝘮𝘦𝘯𝘺𝘦𝘯𝘢𝘯𝘨𝘬𝘢𝘯 𝘩𝘢𝘵𝘪-𝘕𝘺𝘢, 𝘴𝘦𝘳𝘵𝘢 𝘺𝘢𝘯𝘨 𝘴𝘦𝘮𝘱𝘶𝘳𝘯𝘢.

Rom. 12:2

Salah satu doa Paulus kepada jemaat di Kolose ialah agar mereka bertumbuh dalam pengetahuan mereka tentang Allah (Kol. 1:10). Di penghujung surat kedua Petrus kepada jemaat-jemaat di Asia Minor (Turki), dia menyeru agar mereka menghayati kasih Yesus dan semakin mengenal Dia (2 Pet. 3:18). Penulis surat Ibrani pula mengatakan bahawa perlu ada pertumbuhan dari ajaran asas tentang perkhabaran Allah–dengan kata lain, perlu belajar menerima makanan keras daripada hanya minum susu (Ibr. 5:11-14). Kesemua seruan ini tidak terhad kepada perkembangan intelek sahaja, namun kesemuanya melibatkan perkembangan intelek.

Oleh itu, akal fikiran dan logik masih memainkan peranan penting dalam iman Kristian kita. Proses mendalami dan mengkaji Firman Tuhan masih memerlukan intelek yang diberikan oleh Allah itu sendiri, selain iman. Orang Kristian tidak harus takut akan mengkaji dan mendalami Firman Tuhan walaupun menemukan konsep-konsep atau doktrin yang sukar difahami. Kita tidak patut beranggapan bahawa Allah itu terlalu besar untuk difahami, maka semuanya harus diterima dengan iman sahaja tanpa dipelajari dan dikaji. Tidak dinafikan bahawa Allah itu lebih besar dan agung daripada jangkauan intelek kita, tetapi Dia juga sudah menyediakan kita dengan apa yang patut untuk kita memahami karekter dan kehendak-Nya, iaitu melalui Alkitab. Semua yang kita perlu tahu berkaitan iman Kristian dan keselamatan kita sudah termaktub di dalam Alkitab dan boleh difahami melalui akal fikiran kita. Ini sudah tentu tidak bermaksud semua tentang Allah itu boleh difahami oleh akal fikiran kita yang terbatas, tetapi itu juga bukan beerti kita harus mengabaikan intelek kita sepenuhnya. Maka, selain hati dan jiwa, akal juga harus digunakan sepenuhnya dalam usaha kita untuk mengasihi Allah.

Selain itu, akal fikiran, intelek dan logik kita juga amat penting terutamanya apabila kita berhadapan dengan ajaran-ajaran yang bertentangan dengan iman kita – tidak kira dari dalam atau luar. Rasul Petrus menulis:

𝘏𝘦𝘯𝘥𝘢𝘬𝘭𝘢𝘩 𝘬𝘢𝘮𝘶 𝘴𝘦𝘯𝘵𝘪𝘢𝘴𝘢 𝘣𝘦𝘳𝘴𝘦𝘥𝘪𝘢 𝘮𝘦𝘮𝘣𝘦𝘳𝘪𝘬𝘢𝘯 𝘫𝘢𝘸𝘢𝘱𝘢𝘯 𝘬𝘦𝘱𝘢𝘥𝘢 𝘴𝘦𝘴𝘪𝘢𝘱𝘢 𝘴𝘢𝘩𝘢𝘫𝘢 𝘺𝘢𝘯𝘨 𝘮𝘦𝘮𝘪𝘯𝘵𝘢 𝘬𝘢𝘮𝘶 𝘮𝘦𝘯𝘫𝘦𝘭𝘢𝘴𝘬𝘢𝘯 𝘩𝘢𝘳𝘢𝘱𝘢𝘯 𝘺𝘢𝘯𝘨 𝘬𝘢𝘮𝘶 𝘮𝘪𝘭𝘪𝘬𝘪.

1 Pet. 3:15

Jelas sekali bahawa kita harus mempunyai jawapan untuk sesiapa yang bertanya tentang pengharapan yang kita miliki di dalam Kristus. Untuk memiliki jawapan itu (yang jelas sekali terkandung di dalam Alkitab), kita harus mempraktikkan intelek dan logik kita untuk memahaminya. Maka dengan itu, pemikiran dan logik kita bukan sahaja digunakan untuk kita sendiri dalam memahami karekter Allah dan kehendak-Nya, bahkan juga memberikan manfaat kepada orang lain yang bertanyakan kepada kita tentang iman dan pengharapan yang kita pegang.

Iman Berdasarkan Kebenaran

Iman Kristian kita bukanlah iman yang buta. Iman kita adalah berdasarkan kebenaran yang terjadi menurut yang dicatatkan di dalam Alkitab. Iman kita berpaksikan kepada Kristus – kehidupan-Nya, kematian-Nya, dan kebangkitan-Nya. Semua itu berlaku di alam nyata, di dalam sejarah, lebih 2000 tahun yang lalu. Oleh itu, iman kita adalah iman yang berdasarkan fakta. Itu menuntut kita untuk mendalami, mengkaji dan menyelidikinya dengan sepenuh akal fikiran kita yang dikurniakan Allah sendiri.

Get articles delivered straight to your inbox. Sign up for our mailing list here.

Follow us on:

Wilston Trin is an Assistant Minister at St. Peter’s Anglican Church Saratok, a church under the Anglican Diocese of Kuching. He graduated with a B. Div. from Seminari Theoloji Malaysia and currently in a transition to do his MA (Theol.) at Moore Theological College, Sydney. His passion is to help people to understand and believe the gospel, as well as helping God’s people to grow in their knowledge and love of God.

Related Articles

Berkat Pada Hari Ini: Sebuah Teologi Alkitabiah tentang Berkat (Bahagian 4)
Peranan Pemikiran Dan Logik Di Dalam Iman Kristian

Dalam hantaran yang lalu mengenai teologi kemakmuran, kita telah melihat kepentingan berkat dalam Perjanjian Lama dan memperhatikan bagaimana ia digenapi dan diperluaskan dengan kedatangan Kristus. Yesus bukan sahaja menjadikan janji Tuhan tentang berkat dalam Perjanjian Lama sebuah kenyataan, tetapi Dia juga memperluaskan rangkumannya: ke seluruh dunia; hingga ke syurga; dan sampai masa hadapan...

Paul Barker
Diberkati Untuk Menjadi Kaya? Sebuah Teologi Alkitabiah Tentang Berkat (Bahagian 2)
Peranan Pemikiran Dan Logik Di Dalam Iman Kristian

Dalam hantaran sebelum ini, kita mula menerokai teologi kemakmuran—idea di mana orang Kristian harus mengharapkan berkat material yang sama seperti yang dinikmati oleh umat Tuhan dalam era Perjanjian Lama. Kita telah melihat beberapa respons berbeza yang dibuat terhadap gerakan kemakmuran dan menyimpulkan bahawa adanya keperluan untuk menggunakan pendekatan teologi alkitabiah...

Paul Barker