Memahami Doktrin Tritunggal
Pengenalan
Memahami doktrin tritunggal adalah sangat penting untuk orang Kristen. Walau bagaimanapun, sangat ramai orang Kristen merasa sangat sukar atau mustahil bagi mereka untuk memahami doktrin tersebut. Tujuan artikel pendek ini adalah untuk membantu orang Kristen menghargai dan memahami kebenaran dasar ini dalam iman mereka.
Asas Doktrin Dalam Alkitab
Walaupun istilah “tritunggal” atau “triniti” tidak terungkap dalam Alkitab, namun konsepnya terbentang luas dan menyeluruh dalam Kitab Suci, bermula dari Kitab Kejadian hingga ke Kitab Wahyu.
Misal kata, konsept tersebut ada terbentang di Kitab Kejadian dimana Allah bersama-sama Roh-Nya dan Firman-Nya menciptakan alam semesta:
1Pada mulanya Allah menciptakan langit dan bumi. 2Bumi tidak berbentuk dan kosong; kegelapan menyelubungi permukaan samudera, dan Roh Allah melayang-layang di atas permukaan air. 3Berfirmanlah Allah, “Jadilah cahaya.” Lalu terus ada cahaya.
– Kejadian 1:1-3 (AVB)
Konsep tritunggal juga terungkap dalam Injil Matius dimana Yesus memperkenalkan Allah sebagai Bapa, Firman Allah sebagai Anak dan Roh Allah sebagai Roh Kudus.
19Oleh itu pergilah, jadikan semua bangsa murid-Ku. Baptislah mereka dengan nama Bapa, Anak dan Roh Kudus.
– Matius 28:19 (AVB)
Selain daripada rujukan-rujukan di atas, konsep mengenai tritunggal juga boleh didapati dalam Kejadian 1:26, Yesaya 61:1, 2 Korintus 13:14, 1 Korintus 12:4-5, Efesus 4:4-6, 1 Petrus 1:2 dan lain lain.
Keesaan Allah
Doktrin ini adalah mengenai Allah yang esa atau satu, yang wujud sebagai Allah Bapa, Allah Anak dan Allah Roh Kudus. Bapa, Anak dan Roh Kudus bukanlah tiga Allah, tetapi Allah yang satu. Kesukaran orang Kristen memahami hakikat ini adalah berpunca daripada ketidakfahaman mereka mengenai hubungan di antara tiga oknum atau peribadi Bapa, Anak dan Allah. Keesaan atau kesatuan ini adalah ketara sekiranya kita tahu bahawa Bapa adalah Allah, Anak adalah Firman Allah dan Roh Kudus adalah Roh Allah.
Firman Allah adalah bersama-sama dengan Allah, tidak boleh dipisahkan daripada Allah, adalah satu dengan Allah, dan adalah Allah. Allah dan Firman-Nya adalah satu.
Begitu juga dengan Roh Allah; Dia adalah bersama-sama dengan Allah, tidak boleh dipisahkan daraipada Allah, adalah satu dengan Allah, dan adalah Allah. Allah dengan Roh-Nya adalah satu.
Oleh kerana Allah dengan Firman-Nya adalah satu, dan Allah dengan Roh-Nya adalah juga satu, maka Allah, Firman-Nya dan Roh-Nya adalah satu. Oleh kerana Allah itu Bapa, Firman Allah itu Anak dan Roh Allah itu Roh Kudus, maka kita boleh katakan Bapa, Anak dan Roh Kudus adalah satu. Namun Bapa bukan Anak, Anak bukan Roh Kudus, dan bukan Roh Kudus bukan Bapa, namun ketiga-tiga oknum ini adalah sama-sama Allah yang satu, bukan tiga Allah. Hubungan ini dapat difahami daripada gambarajah di bawah.
Dengan kata lain, Allah yang satu itu wujud dalam tiga peribadi atau oknum. Walau bagaimanapun, ramai orang Kristen mendapati kata-kata ini sukar untuk diterima dan difahami. Ini adalah kerana apabila mereka memikirkan istilah peribadi, mereka secara automatik akan membandingkam peribadi Allah dengan peribadi manusia. Apa yang mereka faham adalah seorang manusia adalah sentiasa wujud sebagai satu peribadi. Oleh kerana itu, mereka sukar menerima hakikat dimana satu Allah boleh wujud sebagai tiga peribadi. Inilah masalahnya; mereka memandingkan Allah dengan manusia.
Hakikatnya, kita tidak boleh membandingkan Allah dengan manusia. Ini adalah kerana manusia itu adalah makhluk yang yang rendah dan terhad (finite), dimana seorang manusia akan sentiasa wujud sebagai satu peribadi. Tetapi Allah bukan makluk: Dia adalah mahabesar, mahatinggi, tidak terhingga (infinite) dan tidak terhad. Oleh kerana itu, adalah tidak mustahil untuk Allah yang esa boleh wujud lebih daripada satu peribadi.
Allah Bapa
Allah Bapa adalah Yahweh, Allah yang terbentang dalam Alkitab, Allah yang disembah orang Israel. Dia adalah Allah kepada Abraham, Ishak dan Yakub. Dia adalah Allah yang diperkenalkan oleh Yesus sebagai Allah Bapa. Dia dipangil Bapa kerana Dia adalah punca segala-galanya dan oleh kerana Dia adalah mahapengasih dan mahapenyayang. Dia adalah juga mahakuasa, mahahadir, mahatahu dan satu-satunya Allah yang benar dan yang menciptakan alam semesta.
Di dalam Diri-Nya ada Firman dan Roh, yang wujud bersama-sama-Nya, kekal dan tidak ada permulaan atau pengakhiran.
Allah Anak
Allah Yang Sejati
Yesus adalah Anak Allah atau Firman Allah, dan adalah Allah yang sejati. Dia bukan Allah yang satu lagi kerana Firman Allah dan Allah adalah satu.
Pada permulaan sudah wujud Firman, dan Firman itu bersama Allah dan Firman itu ialah Allah
– Yohanes 1:1 (AVB)
Kita tahu bahawa Yesus itu adalah Firman Allah kerana di menampakkan Diri sedemikian kepada Yohanes:
Jubah yang dipakai-Nya berlumuran darah. Nama-Nya “Firman Allah.”
– Wahyu 19:13 (AVB)
Kita percaya Yesus atau Firman Allah itu adalah Allah sejati kerana sebelum Yesus menjadi manusia, Allah Bapa sendiri telah mengistiharkan bahawa Dia adalah Allah.
6 Takhta-Mu, ya Allah (Yesus/Anak), kekal selama-lamanya; tongkat keadilan adalah tongkat kerajaan-Mu. 7Engkau mencintai perbenaran dan membenci kejahatan; oleh itu Allah (Yesus/Anak), Allah Tuhan-Mu (Bapa), telah mengurapi-Mu dengan minyak kebahagiaan lebih daripada teman-teman-Mu.
– Mazmur 45:6-7 (AVB)
Tetapi tentang Anak itu (Yesus/Anak) Dia (Bapa) berfirman: “Takhta-Mu, ya Allah (Yesus/Anak), kekal selama-lamanya; Tongkat kebenaran ialah tongkat kerajaan-Mu. Engkau telah mencintai apa yang benar dan membenci apa yang jahat; Oleh itu Allah (Yesus/Anak), Allah-Mu (Bapa), telah mengurapi-Mu dengan minyak kebahagiaan lebih daripada teman-teman-Mu.”
– Ibrani 1:8-9 (AVB)
Selain daripada Allah Bapa, Roh Kudus juga telah mengilhamkan kepada nabi Yesaya bahawa bayi lelaki yang dinubuatkan akan lahir, iaitu Yesus, adalah Allah.
Sesungguhnya, seorang anak telah lahir bagi kita, seorang putera telah dikurniakan bagi kita. Di atas bahunya tampuk pemerintahan, dan namanya akan disebut: Penasihat Ajaib, Allah Perkasa, Bapa Kekal, Raja Damai.
– Yesaya 9:6 (AVB)
Yesus sendiri juga mengaku Diri-Nya sebagai Allah dan Tuhan:
“Sesiapa yang menang akan menerima hak ini daripada-Ku: Aku akan menjadi Allahnya, dan dia akan menjadi anak-Ku.”.
– Wahyu 21:7 (AVB)
“Kamu memanggil-Ku Aku Guru dan Tuhan. Tepatlah panggilanmu itu, kerana Aku memang Guru dan Tuhan.”
– Yohanes 13:13 (AVB)
“Pulanglah kepada keluargamu dan beritahu mereka betapa besarnya pertolongan Tuhan dan betapa baiknya Dia kepadamu!”
– Markus 5:19 (AVB)
Allah dan Manusia Yang Sejati
Sebagai Allah Anak, Yesus adalah Allah dan manusia yang sejati. Dia bukan separuh Allah dan separuh manusia. Dia adalah benar-benar Allah dan juga benar-benar manusia. Kedua-dua hakikat ini adalah sama benar dan wujud. Oleh kerana itu, Yesus juga mempunyai sifat-sifat Allah dan juga sifat-sifat manusia.
Yesus adalah Firman Allah yang menjadi manusia: “Firman itu menjadi manusia dan hidup dalam kalangan kita” (Yohanes 1:14 AVB). Apabila Dia menjadi manusia, Dia tidak pernah berhenti menjadi Allah, namun Dia menambahkan kewujudan manusia ke dalam Diri-Nya. Oleh kerana itu, Dia adalah Allah dan manusia yang sejati, iaitu Dia adalah Allah-manusia. Sebagai Allah, kehidupan-Nya kekal, tidak ada permulaan dan pengakhiran. Walau bagaimanapun, kemanusiaan-Nya bermula apabila Dia berinkarnasi menjadi manusia.
Sebagai Allah, Yesus adalah mahakuasa, mahahadir, mahatahu, kekal (tidak boleh mati), disembah, menerima doa dan lain-lain. Apabila Yesus menjadi manusia, Dia mengosongkan (Filipi 2:7) Diri-Nya daripada sifat-sifat ilahi-Nya seperti mahakuasa, mahatahu dan kekal. Oleh kerana itu badan kemanusiaan-Nya boleh mati, memerlukan makan dan minum, tidak tahu hari terakhir, berdoa dan memanggil Bapa-Nya Allah. Kedua-dua sifat ilahi dan manusia ini adalah sama-sama benar dan wujud bersama.
Di Perjanjian Lama, Firman atau Anak Allah menampakkan diri-Nya kepada Adam, Abraham, Yakub, Musa dan sebagai nya dengan chara bertheofani. Di Perjanjian Baru pula, Firman Allah berinkarnasi menjadi manusia. Oleh kerana itu, Jesus adalah Allah dan juga manusia yang sejati.
Roh Kudus
Roh Kudus adalah Roh Allah. Sepertimana Firman Allah adalah Allah, Roh Kudus juga adalah Allah. Tetapi Dia bukan Allah yang satu lagi. Ini adalah kerana Roh Allah adalah bersama-sama Allah, tidak boleh dipisahkan daripada Allah, satu dengan Allah dan adalah Allah.
Kesimpulan
Dalam doktrin tritunggal, Allah adalah esa atau satu, yang wujud dalam tiga oknum atau peribadi iaitu Bapa, Anak dan Roh Kudus. Keesaan Allah adalah jelas dalam hubungan dimana Bapa adalah Allah, Anak adalah Firman Allah dan Roh Kudus adalah Roh Allah. Allah bersama Firman-Nya dan Roh-Nya adalah satu; walaupun tiga peribadi ini boleh dibezakan, namun mereka adalah Allah yang satu yang tidak boleh dipisahkan.
Get articles delivered straight to your inbox. Sign up for our mailing list here.
Follow us on:
Related Articles
Berkat Pada Hari Ini: Sebuah Teologi Alkitabiah tentang Berkat (Bahagian 4)
Dalam hantaran yang lalu mengenai teologi kemakmuran, kita telah melihat kepentingan berkat dalam Perjanjian Lama dan memperhatikan bagaimana ia digenapi dan diperluaskan dengan kedatangan Kristus. Yesus bukan sahaja menjadikan janji Tuhan tentang berkat dalam Perjanjian Lama sebuah kenyataan, tetapi Dia juga memperluaskan rangkumannya: ke seluruh dunia; hingga ke syurga; dan sampai masa hadapan...
Berkat dalam Perjanjian Baru: Gagasan Berkat dalam Teologi Alkitabiah (Bahagian 3)
Kita telah melihat dalam hantaran yang lalu bahawa umat Tuhan dalam Perjanjian Lama boleh berharap untuk menerima berkat-berkat di dunia ini. Tuhan telah mengurniai mereka kesuburan, wilayah negeri dan kemakmuran sebagai tanda-tanda perkenanan-Nya, dan berkat-berkat itu juga merupakan sebahagian daripada rencana Tuhan untuk memberkati seluruh dunia. Namun demikian, apakah yang berlaku kepada berkat-berkat...
Diberkati Untuk Menjadi Kaya? Sebuah Teologi Alkitabiah Tentang Berkat (Bahagian 2)
Dalam hantaran sebelum ini, kita mula menerokai teologi kemakmuran—idea di mana orang Kristian harus mengharapkan berkat material yang sama seperti yang dinikmati oleh umat Tuhan dalam era Perjanjian Lama. Kita telah melihat beberapa respons berbeza yang dibuat terhadap gerakan kemakmuran dan menyimpulkan bahawa adanya keperluan untuk menggunakan pendekatan teologi alkitabiah...